Tajuk: Rasullullah S. A. W. Merupakan Manusia

SINOPSIS
Tiada riwayat hidup dan peranan seorang tokoh yang telah diteliti dengan begitu mendalam seperti Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Sesungguhnya perkara yang bakal ditulis ini adalah meliputi kehidupan Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . yang boleh dijadikan contoh teladan kepada kita. Khususnya ia mengambarkan kepada kita bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . adalah seorang insan biasa yang telah dipilih oleh Allah Subhanahu wa ta’ala  untuk dijadikan Rasul-Nya. Perilaku baginda dalam kehidupan seharian beliau boleh dijadikan contoh dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Melihat kepada sejarah perjalanan hidup Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ., kita akan menemui bunga-bunga keharuman dalam kehidupan baginda. Betapa baginda menjalani kehidupan ini benar-benar mengikuti seperti apa yang dikehendaki oleh Alllah Subhanahu wa ta’ala . yakni kehidupan yang menjadi contoh teladan yang terbaik kepada generasi yang seterusnya sehinggalah ke hari kiamat. Kehidupan yang penuh dengan erti perjuangan dan jihad dalam menyampai dan menegakkan agama Allah kepada sekalian manusia. Iaitu kehidupan untuk memimpin seluruh manusia untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . Sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . itu adalah sebagi rasul terakhir, baginda mempunyai akhlak yang unggul dan keperibadian yang tinggi. Kehidupan baginda adalah berteraskan Al-Quran. Menerusi Al-Quran itulah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . berjaya membentuk akhlak dan keperibadian yang unggul dan agung. Hal ini diakui oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . dalam Al-Quran iaitu pada surah al-Qalam, ayat 4 yang bermaksud “ Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia”. Keagunagn Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . sebagai rasul terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . merupakan rahmat bagi seluruh alam. Ianya bukan sahaja diberikan sanjungan yang tinggi oleh umat Islam sahaja bahkan termasuk juga penulis-penulis barat seperti Dr. Johson, seorang penulis dan pengkritik sastera Inggeris yang terkenal.

PENDAHULUAN :
“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya melimpahkan selawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, sampaikanlah selawat dan salam kepadanya”. Sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . itu adalah sebagai Rasul terakhir, baginda mempunyai akhlak yang unggul dan keperibadiannya yang tinggi dan amat dihormati oleh segenap manusia, yakni umatnya. Baginda dilahirkan pada tanggal 12 Rabiul’Awwal tahun gajah 571 Masihi iaitu ketika tentera Abesinia menyerbu dan menakluk Arabia. Baginda dilahirkan di tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliah yang rosak akhlak mereka, namun kehidupan yang tidak bermoral ini sedikit pun tidak menggoyahkan iman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam .. Baginda bukan hanya menjadi nabi dan utusan Allah, tetapi juga kekasih Allah dan rahmat yang dikirimkan ke muka bumi sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-quran, “ Dan tidaklah kami utus engkau wahai (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi sekalian alam”.
Baginda mempunyai pelbagai sifat terpuji yang boleh kita contohi dan jadikan amalan dalam kehidupan seharian kita. Baginda sangat mulia di sisi Allah. Justeru, baginda dididik secara langsung oleh Alllah Subhanahu wa ta’ala  dan bukan dididik oleh keluarga atau masyarakatnya. Keunggulan keperibadiannya dan ketinggian akhlak Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . juga diakui oleh kaumnya sendiri iaitu kaum Quraisy sebelum mereka Islam sehinggalah baginda diberi gelaran “Al-Amin”, (yakni orang yang beramanah lagi dipercayai) ketika baginda berusia 35 tahun.
Kesimpulannya, jika diteliti dan difahami secara mendalam, jelaslah bahawa akhlak baginda tiada tolok tandingnya. Ahlaknya yang abadi dan sopan santunnya yang berdasarkan tuntutan Illahi dan bersumberkan Al-Quran yang suci adalah manisia yang sempurna dan satu contoh teladan yang luhur. Baginda telah wafat pada tanggal 12 Rabiul’Awwal 11 Hijrah sebelum tengah hari, pada hari Isnin, iaitu pada usia baginda 63 tahun. Sesungguhnya, pemergian baginda merupakan kehilangan yang tiada gantinya.

BIODATA :

Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . telah dilahirkan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571 Masihi). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.
Baginda dinamakan Muhammad oleh Abdul Mutallib, yakni datuknya sendiri. Ketika Muhammad dilahirkan, beliau sangat gembira sehingga membawanya mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali sambil berkata, “ Hai anak yng diberkati, aku akan namakan engkau Muhammad. Kelahiran anak ini mengiringi kemuliaan dan kemenangan untuk Rumah Suci, semoga ianya diberkati!” Beliau memilih nama Muhammad yang bermaksud “ Orang yang menerima pujian ” dan beliau ingin Muhammad dipuji di atas langit Allah dan di atas bumi pengikutnya.
Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang Ibu angkat (wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'a diah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Makkah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda telah dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria). Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial arab Jahiliyyah yang merosakkan dan penuh kekufuran.


Dalam masa remajanya, Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa dalam kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As-Siddiq (yang benar) dan Al- Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.
Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah saudara baginda menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa. Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 7 orang anak (3 lelaki dan 4 perempuan) tetapi ketiga-tiga anak lelaki mereka, Qasim, Abdullah dan Ibrahim meninggal semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra. Khadijah merupakan satu-satunya isterinya sehinggalah Khadijah meninggal pada usia 51 tahun.
Gua Hira tempat pertama kali Nabi Muhammad memperoleh wahyu. Muhammad telah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat jahiliyah. Ia sungguh menyedihkan hatinya sehingga beliau kerapkali ke Gua Hira, sebuah gua bukit dekat Makkah, yang kemudian dikenali sebgai Jabal An Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya memusnahkan kedurjanaan yang kian berleluasa. Pada suatu malam, ketika baginda sedang bertafakur di Gua Hira, Malaikat Jibril mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan menyampaikan wahyu Allah di telinganya. Baginda diminta membaca. Baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca". Jibril mengulangi tiga kali meminta Muhammad untuk membaca tetapi jawapan baginda tetap sama. Akhirnya, Jibril berkata, "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. "
Ini merupakan wahyu pertama yang diterima oleh Muhammad. Ketika itu baginda berusia 40 tahun. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah diturunkan menurut panduan yang diberikan Rasulullah dan dikumpulkan dalam buku bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran (bacaan). Kebanyakkan ayat-ayatnya mempunyai erti yang jelas. Sebahagiannya diterjemah dan dihubungkan dengan ayat-ayat yang lain. Sebahagiannya pula diterjemah oleh Rasulullah sendiri melalui percakapannya, tindakan dan persetujuan yang terkenal, dengan nama Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.
Apabila Rasulullah menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakkan pengikut baginda adalah dari anggota keluarganya dan dari golongan masyarakat bawahan. Apabila baginda memperhebat kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka agama Islam yang disebarkannya, dengan itu ramai yang mengikutnya. Tetapi pada masa, baginda menghadapi berbagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam. Mereka bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka. Semangat penganut Islam meningkat apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Makkah menganut agama Islam.
Pada akhir Safar 11 Hijrah, baginda mulai sakit tenat iaitu di saat-saat baginda menghadapi sakaratulmaut. Baginda telah menyelesaikan tugas beliau sebegai utusan Allah. Baginda telah wafat pada 12 Rabiulawal 11 Hijrah. Sesungguhnya, kewafatan baginda telah membuatkan semua masyarakat berdukacita di atas kehilangan seorang pemimpin dan Rasul yang dihormati dan disanjungi. Setelah itu, sahabat baginda Abu Bakar As-Siddiq mengambil tugas dan tanggungjawab baginda meneruskan dakwah dan memimpin umat Islam.
PERJUANGAN NABI MUHAMMAD Sallallahu ‘alaihi wa sallam . :

Sesungguhnya amat besar jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam .. Baginda telah berjaya mengubah umat yang menyembah berhala menjadi umat yang tauhid yang mengabdikan diri kepada Allah, umat yang berpecah belah menjadi umat yang bersatu padu, umat yang menghina dan membunuh anak perempuan hidup-hidup menjadi umat yang membela kedudukan wanita sebagai saudara kandung bagi kaum lelaki, umat yang jauh tertinggal di belakang dan umat paling biadab menjadi umat yang berjaya membina tamadun yang tinggi, diiktiraf oleh sejarawan dunia bahawa umat Arab pada zaman keemasannya menjadi guru bagi tamadun dunia barat.
Di Makkah terdapat Kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a. s. beberapa abad lalu sebagai pusat penyatuan umat untuk beribadat kepada Allah. Sebelum itu, ianya dijadikan oleh masyarakat jahiliyah sebagai tempat sembahyang selain dari Allah. Mereka datang dari berbagai daerah Arab, mewakili berbagai suku ternama. Ziarah ke Kaabah dijadikan mereka sebagai sebuah pesta tahunan. Orang ramai bertemu dan berhibur dengan kegiatan-kegiatan tradisi mereka dalam kunjungan ini. Baginda mengambil peluang ini untuk menyebarkan Islam. Antara mereka yang tertarik dengan seruan baginda ialah sekumpulan orang dari Yathrib. Mereka menemui Rasulullah dan beberapa orang Islam dari Mekah di desa bernama Aqabah secara sembunyi-sembunyi. Setelah menganut Islam, mereka bersumpah untuk melindungi Islam, Rasulullah dan orang-orang Islam Mekah.
Tahun berikutnya, sekumpulan masyarakat Islam dari Yathrib datang lagi ke Makkah. Mereka menemui Rasulullah di tempat yang mereka bertemu sebelumnya. Kali ini, Abbas bin Abdul Muthalib, pakcik baginda yang belum menganut Islam hadir dalam pertemuan itu. Mereka mengundang baginda dan orang-orang Islam Mekah untuk berhijrah ke Yathrib. Mereka berjanji akan melayani mereka sebagai saudara seagama. Dialog yang memakan masa agak lama diadakan antara mayarakat Islam Yathrib dengan pakcik Rasulullah untuk memastikan mereka sesungguhnya berhasrat mengalu-alukan masyarakat Islam Mekah di bandar mereka. Rasulullah akhirnya bersetuju untuk berhijrah beramai-ramai ke bandar baru itu.
Mengetahui ramai masyarakat Islam merancang meninggalkan Makkah, masyarakat jahiliyah Mekah cuba menghalang mereka. Namun kumpulan pertama telahpun berjaya berhijrah ke Yathrib. Masyarakat jahiliyah Mekah bimbang hijrah ke Yathrib akan memberi peluang kepada orang Islam untuk mengembangkan agama mereka ke daerah-daerah yang lain. Hampir dua bulan seluruh masyarakat Islam dari Makkah kecuali Rasulullah, Abu Bakar, Ali dan beberapa orang yang daif, telah berhijrah. Masyarakat Mekah kemudian memutuskan untuk membunuh baginda. Mereka merancang namun tidak berjaya. Dengan berbagai taktik dan rancangan yang teratur, Rasulullah akhirnya sampai dengan selamat ke Yathrib, yang kemudian dikenali sebagai, 'Bandar Rasulullah'.
Di Madinah, kerajaan Islam diwujudkan di bawah pimpinan Rasulullah Umat Islam bebas mengerjakan solat di Madinah. Musyrikin Makkah mengetahui akan perkara ini kemudiannya melancarkan beberapa serangan ke atas Madinah tetapi kesemuanya ditangkis dengan mudah oleh umat Islam. Satu perjanjian kemudiannya dibuat dengan memihak kepada pihak Quraish Makkah. Walau bagaimanapun perjanjian itu dicabuli oleh mereka dengan menyerang sekutu umat Islam. Orang Muslim pada ketika ini menjadi semakin kuat telah membuat keputusan untuk menyerang musyrikin Makkah memandangkan perjanjian telah dicabuli.
Pada tahun kelapan selepas penghijrahan ke Madinah berlaku, Nabi Muhammad berlepas ke Makkah. Tentera Islam yang seramai 10, 000 orang tiba di Makkah dengan penuh bersemangat. Takut akan nyawa mereka terkorban, penduduk Makkah bersetuju untuk menyerahkan kota Makkah tanpa sebarang syarat. Nabi Muhammad kemudian mengarahkan supaya kesemua berhala dan patung-patung di sekeliling Kaabah dimusnahkan.
Sesungguhnya, banyak lagi perjuangan nabi yang belum diceritakan. Ini hanya sedikit sahaja yang dapat diceritakan. Sungguh pun demikian, perjuangan beliau amat dihargai oleh semua pihak, terutama umat Islam di atas muka bumi ini. Islam berkembang dengan pesat sekali di atas pengorbanan yang telah nabi lakukan untuk umatnya yang tercinta. Malahan, personaliti Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . yang begitu jujur dan terbuka, cerdas, bijaksana, rendah diri menyebabkan orang ramai tertarik kepada Islam.

SIFAT-SIFAT NABI :

“ Kehadiran Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . sebagai pembawa dan penyampai risalah terakhir ketauhidan menjadi mukzijat wajah dunia (terutama bangsa Arab saat itu) dari carut marut dan penuh kejahiliyahan menjadi bangsa yang terang benderang, beradab dan penuh dengan rasa kemanusiaan dan kecintaan antara sesama. Tidak hairan lah bila dalam banyak kajian tentang tokoh–tokoh yang berpengaruh dalam mengubah dunia, peribadi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . selalu menempati urutan teratas. Berbagai kajian ilmiah, termasuk yang dilakukan kalangan Barat, tak membantah peran tersebut, “ demikian tulis Dr. Muhammad Majdi Marjan dalam bukunya ‘ Muhammad Sang Nabi Tercinta. ”
“ Michael Hart mencantumkan nama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dalam urutan pertama 100 tokoh yang paling berpengaruh di dunia, lantaran kagum dengan akhlak beliau. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . tidak saja berhasil mendidik diri, keluarga dan umatnya tetapi beliau juga mampu melestarikan kekuatan teladan itu dalam setiap nadi generasi para pengikutnya. Sebelum menasehati orang lain, jauh-jauh hari beliau selalu menghiasi dirinya dengan akhlak mulia ‘ibda binafsika, ‘ “ kilah Yusuf Burhanuddin pula dalam artikelnya ‘Mencintai Rasul. ’
Akhlak Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . merupakan acuan akhlak yang tidak ada bandingannya. Bukan hanya dipuji oleh manusia, tetapi juga oleh Allah Subhanahu wa ta’ala .. Hal ini dapat dilihat dalam firman-Nya, “ Dan sesunguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung’’. Ketika Aisyah RA ditanya tentang akhlak Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ., ia menjawab, “Akhlaknya adalah Al Quran“. (HR, . Ahmad dan Muslim). Tingkah laku Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . tercermin dalam kandungan Al Quran sepenuhnya.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menegaskan tentang misinya, “Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. “Sehingga Syauqi Beik dalam kata-kata hikmahnya menyatakan, “ Sesunguhnya umat dan bangsa itu sangat tergantung pada akhlaknya. Jika baik, maka akan kuat bangsa itu. Jika rosak, maka akan hancurlah bangsa itu’’.
Perbuatan-perbuatan yang dilakukan Rasulullah terbahagi kepada dua. Iaitu perbuatan-perbuatan jibiliyah, iaitu perbuatan yang dilakukan manusia secara fitrah, dan ada pula perbuatan-perbuatan selain jibiliyah. Perbuatan-perbuatan jibiliyah, seperti berdiri, duduk, makan, minum dan lain sebagainya, tidak ada perselisihan bahawa status perbuatan tersebut adalah mubah (harus), baik bagi Rasulullah maupun bagi umatnya. Oleh kerana itu, perbuatan tersebut tidak termasuk dalam kategori mandub (sunat).
Sedangkan perbuatan-perbuatan yang bukan jibiliyah, boleh jadi termasuk dalam hal-hal yang ditetapkan khusus bagi Rasulullah, dimana tidak seorang pun diperkenankan mengikutinya (haram) ; atau boleh jadi tidak termasuk dalam perbuatan yang diperuntukkan khusus bagi beliau. Apabila perbuatan itu telah ditetapkan khusus bagi Rasulullah, seperti dibolehkannya beliau melanjutkan puasa pada malam hari tanpa berbuka, atau dibolehkannya menikah dengan lebih dari empat wanita, dan lain sebagainya dari kekhususan beliau; maka dalam hal ini kita tidak diperkenankan mengikutinya. Sebab, perbuatan-perbuatan tersebut telah terbukti diperuntukkan khusus bagi beliau berdasarkan Ijmak Sahabat. Oleh kerana itu kita tidak digalakkan untuk meneladani beliau dalam perbuatan-perbuatan semacam ini.
Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . yang berperanan sebagai Rasul, yakni utusan Allah, sebagai pendidik atau guru, sebagai ketua keluarga, dan sebagai pemimpin ummah, maka baginda memeiliki sifat-sifat yang terpuji seperti as-siddiq yang bererti benar, amanah yakni yang boleh dipercayai, tabligh yang bererti menyampaikan wahyu atau risalah Allah, fatonah yang bererti cerdik, dan sebagainya lagi.
Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . sentiasa bercakap benar atau pun as-siddiq dalam percakapannya, pemikiran, perbuatan, cita-cita, janji dan sebagainya. Sebagaimana yang disebutkan dalam sabda baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . “ Sesungguhnya berkata benar itu menunjukkan ke jalan kebaikan, dan sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan ke syurga. Sesungguhnya seseorang itu hendaklah berkata benar sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang benar... ’’, Riwayat al-Bukhari dan muslim daripada Ibnu Mas’ud.
Istiqamah bermakna berpendirian yang teguh dan tetap atas agama Allah dan mengamalkan pengajarannya dengan tetap. Istiqamah wajib dimilki oleh setiap individu Muslim dan Muslimah iaitu dalam akidah dan dalam mematuhi titah perintah Allah.

Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersifat amanah, baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Beramanah sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab yang dibebankan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . atas bahu baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . untuk menyampaikan risalah kepada kaumnya dan seluruh manusia. Maka amanah itu dijalankan dengan sebaik-baiknya tanpa mengenal jemu dan bosan, tanpa mengendahkan segala rintangan dan cabaran dari kaumnya. Walaupun dihina dan dinista, disakiti, dipulaukan, dgula-gulakan dengan memberi tawaran pangkat atau kedudukan dan sebagainya, dan yang terakhir sekali ancaman bunuh, namun baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . tetap teguh memegang amanah demi menyebar dan meninggikan Kalimatullah Hiyal’ Ulya. Ketika Rasullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . diberi tawaran supaya memilih harta atau takhta atau wanita dengan syarat baginda hendaklah berhenti dariapada kerja dakwah, tawaran itu disampaikan menerusi bapa saudaranya Abu Talib. Lawan amanah ialah khianat dan sifat khianat itu sama sekali tidak dimiliki oleh Rasullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ., bahkan baginda membencinya.
Tabligh ialah menyampaikan risalah Allah Subhanahu wa ta’ala . kepada umat-Nya dan tidak ada sesuatu yang disembunyikan. Diceritakan daripada Abi Bakrah r. a. pada hadis yang panjang daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . sabdanya, “ Bukankah telah aku sampaikan ?” kami menjawab, “Ya!” sabda Nabi lagi, “ Ya Allah! Saksikanlah. Oleh itu hendaklah orang yang hadir (yang mendengar pengajaran yang telah aku sampaikan) menyampaikannya pula kepada yang tidak hadir ’’
Fatonah bererti cerdik atau pandai atau bijaksana ynag mana merupakan salah satu sifat utama Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dan sifat ini amat penting khususnya dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah sebagaimana firman Allah yang berbunyi, “ serulah ke jalan Tuhanmu (waahi Muhammad) denagn hikmah kebijaksanaan dan dengan nasihat pengajaran yang baik da berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”, yang terdapat dalam surah al-Nahl, ayat 125.
Baginda adalah seorang yang pembersih. Allah Subhanahu wa ta’ala . memerintahkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . agar sentiasa membersihkan diri zahir dan batin, iaitu bersih pakaian, akhlak, perbuatan zahir daripada kemaksiatan dan sebagainya. Setiap individu Muslim dan Muslimah yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . mereka juga dituntut supaya membersihkan diri daripada kekotoran dosa dan kekotoran najis. Membersihkan diri zahir dan batin adalah sebahagian daripada tuntutan iman dan orang yang bersih dikasihi oleh Allah.
Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . juga adalah seorang yang pemurah atau dermawan. Ibnu Abbas r. a. berkata, “ Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . adalah orang yang paling pemurah dalam kebaikan. Sifat pemurahnya itu lebih menonjol lagi pada bulan Ramadhan sampai akhir bulan…” oleh kerana kedermawanan Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . itu, baginda tidak ada simpanan makanan untuk hari esok, jika masih ada makanan maka ia akan disedekahkan kepada fakir atau miskin. Kedermawanan beliau bukanlah untuk mencari pujian atau untuk menutupi kekurangan dan bukan juga untuk berbangga-bangga. Tetapi, adalah semata-mata kerana Allah, untuk mendapatkan keredhaan-Nya serta untuk melindungi agama bahkan juga untuk menolong kaum muslimin yang miakin kerana menghabiskan harta mereka di jalan Allah dan sebagainya lagi.
Al-Afwu adalah memberi maaf, memberi ampun terhadap kesalahan orang tanpa ada rasa benci terhadap orang yang bersalah atau sakit hati atau ada keinginan untuk membalas padahal dia mampu membalas. Al-Quran menjadi sumber budi pekerti Nabi, sifat-sifat beliau ialah pemaaf, banyak memberi maaf, dan pemaafannya itu di saat beliau bekuasa dan mampu membalas, sesungguhnya sifat maaf beliau timbul dari jiwa yang pemurah. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . seorang yang sentiasa lapang dada, tenang dan sentiasa bersedia memberi maaf waalau baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dikasari oleh musuh.
Adil membawa maksud memberikan hak kepada yang berhak dengan tidak membeza-bezakan antara orang-orang yang berhak itu, dan bertindak terhadap orang yang salah yakni bersesuaian dengan kejahatan dan kelalaiannya. Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . memperolehi sifat adil langsung dari pendidikan Tuhan dan akhlak yang bersumberkan dari Al-Quran. Nabi adalah seorang hakim yang ditaati, keputusannya mententeramkan hati kaum muslimin
Diantara akhlak mulia Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam . ialah pemalu. Beliau bersabda ; “Hendaklah kamu merasa malu kepada Allahs. w. t. dengan malu yang sebenarnya. “Para sahabat menjawab “ Ya Nabiyullah, alhamdulillah kami sudah merasa malu. “ Kata Nabis. a. w. : “ Tidak segampang itu. Yang dimaksud dengan malu kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . dengan sebenarnya malu adalah kemampuan kalian memelihara kepala beserta segala isinya, memelihara perut dan apa yang terkandung di dalamnya, banyak-banyak mengingat mati dan cobaan (Allah Subhanahu wa ta’ala . ). Siapa yang menginginkan akhirat hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia. Siapa yang telah mengamalkan demikian, maka demikianlah malu yang sebenarnya kepada Allahs. w. t.. “ (HR. Turmuzi dan Abdullah bin Mas’ud).
Di antara akhlak Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . lain yang perlu dicontohi termasuklah sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui, menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak, bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya, tidak menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan mereka, sentiasa membantu orang lain, walaupun Baginda sendiri dalam kesusahan dan juga berlemah lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya. Baginda tersangat sabar dan tabah apabila mengahadapi setiap cabaran dan kesusahan.

KESIMPULAN :

Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  merupakan manusia yang sempurna dan merupakan contoh teladan yang baik untuk kita contohi. Peribadi dan sifat-sifat beliau yang tiada tandingannya merupakan tunggak utama contoh dalam kehidupan seharian kita. Akhlak baginda yang abadi dan adab yang sopan santun adalah berdasarkan tuntutan Illahi dan bersumberkan Al-Quran yang suci.
Sesungguhnya, amat besar jasa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam .. Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . telah berjaya mengubah umat yang menyembah berhala menjadi umat yang tauhid yang mengabdika diri kepada Allah, umat yang berpecah belah menjadi umat yang bersatu padu, dan lain-lain lagi. Perubahan besar itu berlaku dalam jangka waktu yang singkat iaitu tidak lebih daripada 23 tahun. Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . berjay membuat perubahan besar itu dengan pimpinan wahtu Al-Quran yang meliputi segenap aspek kehiduoan insan seta keunggulan akhlak baginda yang sungguh dikagumi. Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam mendapat pengakuan tentang budi pekertinya tidak hanya daripada kaum muslimin tapi pengakuannya juga datang dari kalangan musuh-musuh beliau.
Dengan demikian jelaslah bahawa akhlak Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . itu sangat terpuji dan mulia. Akhlak beliau ada disebut dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Beliau adalah contoh yang patut diteladani dan ditiru oleh kita semua selaku umat Islam yang mengikuti ajaran syariatnya. Dengan dalil-dalil tentang akhlak Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . yang dicantumkan, semoga ianya dapat menjadi cermin bagi kita, dan berharap kita dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan sehari-hari.
Dalam diri Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam terkumpul sifat-sifat utama iaitu rendah hati, lemah lembut, jujur, tidak suka mencari-cari cacat atau kekurangan orang lain, sabar, tidak angkuh, santun dan tidak mudah mabuk pujian. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam selalu berusaha melupakan hal-hal yang tidak berkenan di hatinya dan tidak pernah berputus asa dalam berusaha. Oleh sebab itu Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah contoh ideal bagi seluruh kaum muslimin, termasuk bagi para sufi. Hal ini sesuai dengan firman Alah Subhanahu wa ta’ala dalam surah Al Ahzab ayat 21: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu yaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Alah.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com